Saturday, April 6, 2013

TARIAN


Nilai murni melalui tarian

Tarian tradisional unik kerana sarat dengan nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati guru dan rakan.
MUNGKIN ramai melihat tarian tradisional hanyalah sekadar seni warisan negara yang harus dipertahankan agar tidak dimamah zaman dan keunikan khazanah ini sebagai tidak lebih daripada hiburan semata-mata.
Paling tipikal apabila ada antara kita begitu mudah mengklasifikasikan lemah gemalai, gerak langkah si penari tradisional ini hanyalah sebagai pelengkap kemeriahan majlis.
Lain daripada itu, tiada lagi yang menarik atau berkepentingan bagi seseorang individu itu untuk mengambil inisiatif mempelajari dan mengenal kepelbagaian seni tradisional negara.
Ibu bapa pula (bukan semua) lebih cenderung menitikberatkan ataupun mengisi jadual pembesaran anak mereka dengan kalendar akademik, bersukan tetapi menyimpulkan tiada kepentingan untuk penanaman minat mencintai seni tarian.
Namun, tanpa disedari pemahaman anda mengenai `kepentingan’ tarian hanyalah sekadar sebagai bahan tontonan sahaja. Walhal, tarian tradisional yang merangkumi kepelbagaian kaum negara ini sememangnya `kaya’ daripada pelbagai sudut.
Bukan sahaja sebagai tunjang kekuatan penonjolan identiti negara, malah tahukah anda bahawa ia juga secara implisit berperanan sebagai daya penggerak menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda.
Penerokaan
“Tarian tradisional itu sebenarnya sangat unik dan padat, sarat dengan nilai-nilai murni seperti hormat menghormati antara guru dan rakan penari lain, bersalaman dengan mereka yang lebih tua, berdisiplin selain menyanjung tinggi warisan tradisi," kata koreografer dan penari terkenal, Dr Joseph Gonzales. Satu pendekatan sangat menarik. Di kala kerisauan melingkari ibu bapa akan pencarian kaedah terbaik dalam membentuk sahsiah murni anak mereka, mengapa tidak ditimbangkan sahaja kewajaran mempelajari tarian tradisional? Walhal, warisan yang kaya dengan nilai murni itu berada di depan mata kita sahaja tetapi dipandang sebelah mata oleh segelintir pihak kerana beranggapan ia pembaziran masa dan tidak mengikut perkembangan baru.
Sesetengah anak muda berpendapat tarian tradisional hanya sesuai bagi komuniti berstatus pakcik dan makcik sahaja tetapi tidak bagi mereka yang lebih gemar menceduk budaya barat sebagai pilihan masa kini.
Di sinilah silapnya ataupun antara satu punca kepada penyumbangan kelunturan nilai murni dalam kalangan masyarakat apabila dengan begitu mudahnya mengadaptasi budaya luar tanpa adanya persempadanan tapisan. Atas sebab itulah setiap pelajar Fakulti Tari, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) diwajibkan untuk mempelajari khazanah tarian teragung negara ini.
Mereka perlu mengenal dan boleh menari zapin, inang dan ini semua adalah antara langkah diambil bagi menyemai nilai murni dalam kalangan generasi muda menerusi tarian tradisi, kata Gonzales, yang juga Dekan Fakulti Tari, kepada Bernama.
Sahsiah individu
Agak musykil sebenarnya apabila diberitahu bahawa tarian warisan ini dapat membantu kepada proses pemupukan nilai murni dalam sahsiah seseorang individu.
Melihat kepada kelenturan badan penari tatkala mengikut rentak irama didendangkan, merungkai kepada persoalan akan di manakah terletaknya nilai murni seperti mana yang diperkatakan? Mungkin bagi mereka yang tergolong dalam kalangan "penonton biasa" yang kebetulan menikmati persembahan itu ketika menghadiri majlis tertentu tidak dapat merasakan "elemen pengajaran" di sebalik tarian tradisi itu.
Contohnya, tarian zapin. Pada pandangan mereka (penonton biasa) tarian yang berasal daripada masyarakat Arab, Hadramaut, Yaman ini yang telah diadaptasi mengikut budaya kita, hanyalah sekadar menyaksikan kehebatan penari bermain langkah.
Walhal, lagu-lagunya (tarian zapin) itu banyak berunsurkan kepada nilai keislaman, nasihat dalam hidup manusia dan budi pekerti, kata pensyarah Fakulti Tari Aswara, Mohd. Seth Hamzah.
Malah, asalan tarian tradisi itu sendiri yang dimainkan selepas selesai solat Isyak di perkarangan surau, masjid pada kurun ke-14, jelas memaparkan ia "kaya" dengan elemen kemuliaan kehidupan manusia.
“Dalam bermain Zapin, pergerakannya penuh tertib dengan kesopanan tingkah laku manusia secara semulajadi. Contohnya seperti menunduk tanda hormat, ayunan penuh kelembutan dan kehalusan gerakan langkah wanita dalam tarian zapin semuanya mempamerkan elemen murni," katanya.
Dengan mempelajari tarian Zapin sebenarnya dapat membantu menerapkan nilai murni dalam sahsiah individu, tambahnya.

Tiada noktah
Begitu indahnya mesej yang terselindung, terselirat di sebalik setiap gerakan, ayunan langkah yang terdapat dalam kepelbagaian tarian tradisi negara.
Selain memberi hiburan, ia berpotensi menyemai nilai ketimuran dalam setiap sahsiah anak muda hari ini.
Justeru, usaha berterusan perlu dilakukan dalam membuahkan rasa kecintaan golongan ini untuk mempelajari dan mengenali khazanah warisan ini.
Melihat kepentingannya yang selain daripada faktor pengekalan warisan, akademi yang bertunjangkan kepada moto “melangkah ke hadapan bersama tradisi," Aswara, telah menganjurkan persembahan tarian “Main Zapin" selama tiga hari bermula 1 Mac lepas.
Dipersembahkan oleh pelajar dan graduan Fakulti Tari akademi ini, Rektor Aswara, Prof. Dr. Mohamad Hatta Azad Khan berkata, program ini bukanlah sekadar mengaplikasi dan mempertonton nilai murni masyarakat kepada penonton.
Ini juga membantu mengeratkan silaturrahim antara guru dan pelajar.
“Dalam persembahan ini, kita dapat lihat bagaimana pelajar menari bersama pensyarah mereka. Ini antara cara untuk mendidik pelajar menghormati guru.
“Di samping itu, program ini sebagai platform mengetengahkan tarian-tarian tradisional yang belum dikenali ramai bagi memastikannya tidak pupus ditelan zaman," katanya.
Khazanah kesenian seperti tarian “Terinai" dari Perlis, Tari Inai (Kelantan), Joget Gamelan (Terengganu), Dabus (Perak) wajar dikaji dan atas sebab itulah pelajar Aswara diwajib keluar menjalankan kajian lapangan menerokai warisan berkenaan.
Biarpun mewajibkan mempelajari tarian tradisional, namun tiada sekatan ataupun halangan bagi pelajar Fakulti Tari, Aswara untuk mempelajari tarian moden, kontemporari.
Semuanya bagi memastikan warisan negara ini terus subur menongkah arus pemodenan serta sebagai medium pemangkin kepada penerapan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment