Nilai murni melalui tarian
MUNGKIN ramai melihat tarian tradisional hanyalah sekadar seni
warisan negara yang harus dipertahankan agar tidak dimamah zaman dan
keunikan khazanah ini sebagai tidak lebih daripada hiburan semata-mata.
Paling tipikal apabila ada antara kita begitu mudah
mengklasifikasikan lemah gemalai, gerak langkah si penari tradisional
ini hanyalah sebagai pelengkap kemeriahan majlis.
Lain daripada itu, tiada lagi yang menarik atau berkepentingan bagi
seseorang individu itu untuk mengambil inisiatif mempelajari dan
mengenal kepelbagaian seni tradisional negara.
Ibu bapa pula (bukan semua) lebih cenderung menitikberatkan ataupun
mengisi jadual pembesaran anak mereka dengan kalendar akademik, bersukan
tetapi menyimpulkan tiada kepentingan untuk penanaman minat mencintai
seni tarian.
Namun, tanpa disedari pemahaman anda mengenai `kepentingan tarian
hanyalah sekadar sebagai bahan tontonan sahaja. Walhal, tarian
tradisional yang merangkumi kepelbagaian kaum negara ini sememangnya
`kaya daripada pelbagai sudut.
Bukan sahaja sebagai tunjang kekuatan penonjolan identiti negara,
malah tahukah anda bahawa ia juga secara implisit berperanan sebagai
daya penggerak menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda.
Penerokaan
Tarian tradisional itu sebenarnya sangat unik dan padat, sarat
dengan nilai-nilai murni seperti hormat menghormati antara guru dan
rakan penari lain, bersalaman dengan mereka yang lebih tua, berdisiplin
selain menyanjung tinggi warisan tradisi," kata koreografer dan penari
terkenal, Dr Joseph Gonzales. Satu pendekatan sangat menarik. Di kala
kerisauan melingkari ibu bapa akan pencarian kaedah terbaik dalam
membentuk sahsiah murni anak mereka, mengapa tidak ditimbangkan sahaja
kewajaran mempelajari tarian tradisional? Walhal, warisan yang kaya
dengan nilai murni itu berada di depan mata kita sahaja tetapi dipandang
sebelah mata oleh segelintir pihak kerana beranggapan ia pembaziran
masa dan tidak mengikut perkembangan baru.
Sesetengah anak muda berpendapat tarian tradisional hanya sesuai bagi
komuniti berstatus pakcik dan makcik sahaja tetapi tidak bagi mereka
yang lebih gemar menceduk budaya barat sebagai pilihan masa kini.
Di sinilah silapnya ataupun antara satu punca kepada penyumbangan
kelunturan nilai murni dalam kalangan masyarakat apabila dengan begitu
mudahnya mengadaptasi budaya luar tanpa adanya persempadanan tapisan.
Atas sebab itulah setiap pelajar Fakulti Tari, Akademi Seni Budaya dan
Warisan Kebangsaan (Aswara) diwajibkan untuk mempelajari khazanah tarian
teragung negara ini.
Mereka perlu mengenal dan boleh menari zapin, inang dan ini semua
adalah antara langkah diambil bagi menyemai nilai murni dalam kalangan
generasi muda menerusi tarian tradisi, kata Gonzales, yang juga Dekan
Fakulti Tari, kepada Bernama.
Sahsiah individu
Agak musykil sebenarnya apabila diberitahu bahawa tarian warisan ini
dapat membantu kepada proses pemupukan nilai murni dalam sahsiah
seseorang individu.
Melihat kepada kelenturan badan penari tatkala mengikut rentak irama
didendangkan, merungkai kepada persoalan akan di manakah terletaknya
nilai murni seperti mana yang diperkatakan? Mungkin bagi mereka yang
tergolong dalam kalangan "penonton biasa" yang kebetulan menikmati
persembahan itu ketika menghadiri majlis tertentu tidak dapat merasakan
"elemen pengajaran" di sebalik tarian tradisi itu.
Contohnya, tarian zapin. Pada pandangan mereka (penonton biasa)
tarian yang berasal daripada masyarakat Arab, Hadramaut, Yaman ini yang
telah diadaptasi mengikut budaya kita, hanyalah sekadar menyaksikan
kehebatan penari bermain langkah.
Walhal, lagu-lagunya (tarian zapin) itu banyak berunsurkan kepada
nilai keislaman, nasihat dalam hidup manusia dan budi pekerti, kata
pensyarah Fakulti Tari Aswara, Mohd. Seth Hamzah.
Malah, asalan tarian tradisi itu sendiri yang dimainkan selepas
selesai solat Isyak di perkarangan surau, masjid pada kurun ke-14, jelas
memaparkan ia "kaya" dengan elemen kemuliaan kehidupan manusia.
Dalam bermain Zapin, pergerakannya penuh tertib dengan kesopanan
tingkah laku manusia secara semulajadi. Contohnya seperti menunduk tanda
hormat, ayunan penuh kelembutan dan kehalusan gerakan langkah wanita
dalam tarian zapin semuanya mempamerkan elemen murni," katanya.
Dengan mempelajari tarian Zapin sebenarnya dapat membantu menerapkan nilai murni dalam sahsiah individu, tambahnya.
Tiada noktah
Begitu indahnya mesej yang terselindung, terselirat di sebalik
setiap gerakan, ayunan langkah yang terdapat dalam kepelbagaian tarian
tradisi negara.
Selain memberi hiburan, ia berpotensi menyemai nilai ketimuran dalam setiap sahsiah anak muda hari ini.
Justeru, usaha berterusan perlu dilakukan dalam membuahkan rasa
kecintaan golongan ini untuk mempelajari dan mengenali khazanah warisan
ini.
Melihat kepentingannya yang selain daripada faktor pengekalan
warisan, akademi yang bertunjangkan kepada moto melangkah ke hadapan
bersama tradisi," Aswara, telah menganjurkan persembahan tarian Main
Zapin" selama tiga hari bermula 1 Mac lepas.
Dipersembahkan oleh pelajar dan graduan Fakulti Tari akademi ini,
Rektor Aswara, Prof. Dr. Mohamad Hatta Azad Khan berkata, program ini
bukanlah sekadar mengaplikasi dan mempertonton nilai murni masyarakat
kepada penonton.
Ini juga membantu mengeratkan silaturrahim antara guru dan pelajar.
Dalam persembahan ini, kita dapat lihat bagaimana pelajar menari
bersama pensyarah mereka. Ini antara cara untuk mendidik pelajar
menghormati guru.
Di samping itu, program ini sebagai platform mengetengahkan
tarian-tarian tradisional yang belum dikenali ramai bagi memastikannya
tidak pupus ditelan zaman," katanya.
Khazanah kesenian seperti tarian Terinai" dari Perlis, Tari Inai
(Kelantan), Joget Gamelan (Terengganu), Dabus (Perak) wajar dikaji dan
atas sebab itulah pelajar Aswara diwajib keluar menjalankan kajian
lapangan menerokai warisan berkenaan.
Biarpun mewajibkan mempelajari tarian tradisional, namun tiada
sekatan ataupun halangan bagi pelajar Fakulti Tari, Aswara untuk
mempelajari tarian moden, kontemporari.
Semuanya bagi memastikan warisan negara ini terus subur menongkah
arus pemodenan serta sebagai medium pemangkin kepada penerapan
nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda. -
BERNAMA
No comments:
Post a Comment